an architecture
of a
LOST KINGDOM

Home

The Village

Villas

Dining

Experiences

Rates & Offers

Contact Us

 

 

 

 

Utusan

Menjenguk warisan istana Melayu lama

Terrapuri Heritage Village masih mengekalkan ciri asal rumah Melayu asli Terengganu.

Dalam percutian kali ini, saya ingin membawa anda ke suatu tempat yang akan membuka minda dan berbangga dengan warisan Melayu lama. Dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT), perjalanan mengambil masa lebih kurang enam jam. Sebaik sahaja membelok dan memasuki jalan-jalan kampung, ia sememangnya menggamit kenangan dengan keindahan pemandangan rumah tepi laut, pohon hijau dan udara yang nyaman.

Terengganu sememangnya destinasi yang sesuai untuk pencinta alam semuala jadi seperti saya. Daripada makanan sehinggalah ke lokasi pelancongan, terlalu banyak untuk dicuba sehinggakan saya berasa tidak puas untuk meneroka negeri yang terkenal dengan penyu ini.

Terpegun dengan keindahan lokasi filem Hikayat Merong Mahawangsa, ia membawa saya untuk mengetahui tentang Terrapuri yang terletak di Kampung Mangkuk, Setiu, Terengganu.

Pemilik Terrapuri Heritage Village, Alex Lee Yun Ping sememangnya lebih mengenali budaya dan sejarah Melayu berbanding dengan penulis. Saya terpegun mendengar cerita permulaan beliau membina semula rumah Melayu lama iaitu Rumah Terengganu Klasik itu. Tambah menarik apabila beliau bercerita tentang kerajaan Langkasuka.

Terrapuri bermaksud The Land of Palace. Ia merupakan projek pemeliharaan dan pemuliharaan rumah Terengganu Melayu Klasik. Terdapat 29 ciri-ciri rumah antik klasik berusia ratusan tahun dipelihara semula. Susun atur Terrapuri dan kawasan persekitarannya diilhamkan daripada Istana Terengganu pada abad ke-17. Terrapuri terdiri daripada 20 vila eksklusif yang dipulih yang dijadikan spa, restoran mewah berkonsepkan tradisional Melayu, vila istirehat, galeri dan rumah pantai.

Lokasi Terrapuri amat unik kerana ia diapit oleh Laut China Selatan dan sungai berpaya bakau, Setiu Wetland. Oleh kerana lokasi yang cantik dan mendamaikan, anda boleh duduk bersantai sambil melihat pemandangan indah Pulau Perhentian, Lang Tengah, Pulau Bonjol, Redang dan Pulau Bidong.

Pada waktu malam, anda dapat melihat kelip-kelip. Jika anda datang ke Terrapuri pada musim penyu bertelur, pasti anda dapat melihat penyu hijau bertelur di pasir pantai dan biasanya akan pulang ke pantai yang sama sekitar bulan Mei hingga September.

Rumah Terengganu Klasik adalah penempatan orang Melayu yang datang dari tamadun purba Champa di Indochina dan Kemboja. Mereka menetap di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia dari abad kedua hingga ke-16. Terengganu adalah sebahagian daripada kerajaan Melayu Langkasuka. Justeru, banyak bentuk seni tradisional Melayu hari ini berasal dari sana termasuk Wayang Kulit, Mak Yong, Menora, Sobek dan Kerawang.

Uniknya Rumah Terengganu Klasik mempunyai serambi iaitu ciri-ciri sama dengan rumah-rumah tradisional di Kemboja dan Thailand. Setiap rumah ada keunikan tersendiri. Orang zaman dahulu lebih cenderung menjaga susur galur kekeluargaan seperti mana mereka menjaga rumah. Kita boleh tahu dengan melihat tiang utama rumah yang didirikan di atas tiang lain yang digelar tiang seri, bentuk segi tiga di tepi bumbung, bumbung gable curam, hujung gable lembut melengkung, jajaran liat jubin bumbung dan dinding yang diperbuat daripada panel kayu yang berlubang ke alur bingkai. Kebanyakan ahli keluarga yang berasal daripada keluarga ini adalah berjaya kerana ikatan kekeluargaan sangat utuh.

Kesemua 29 rumah di Terrapuri sudah dibaik pulih dan dipelihara. Pengusaha masih mengekalkan ciri asalnya dengan menggunakan sepenuhnya kayu cengal. Bagi bahagian dinding, pintu, tingkap dan gables pula terdiri daripada panel kayu yang berasingan dan dipasang bersama-sama menggunakan sendi kayu yang dipasak daripada kayu penaga.

Paku memang tidak digunakan, maka keseluruhan struktur boleh diambil berasingan dan dipasang semula. Rumah ini dengan mudah boleh dipasang atau dibuka semula, di samping mudah untuk memudahkan penghuni berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain.

Jika anda ingin melihat Rumah Terengganu Klasik dan mendalami kisahnya, anda boleh ke Terrapuri Heritage Village kerana ia adalah satu-satunya projek pemulihan dan pemuliharaan rumah Terengganu Klasik yang masih mengekalkan budaya, simbol dan nilai-nilai sejarahnya. Di Terrapuri Heritage Village, mereka menyediakan pelbagai pakej untuk keselesaan anda mengikut tradisi Melayu lama. Jangan terkejut apabila anda mengetahui di sana tiada televisyen, telefon dan radio.

 

 

Terrapuri | Kampung  Mangkuk, 22120 Setiu, Terengganu, Malaysia.  T : +(609) 6245020  +(609) 6312081  F : +(609) 6228093  E : info@terrapuri.com